BAGAN SERAI: Sebanyak RM7 juta diperuntukan bagi memperbaiki sistem saliran pertanian sebagai langkah menghadapi cuaca panas yang dijangka melanda beberapa negeri termasuk Perak dan Kelantan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi menjalankan kerja-kerja membina parit, rumah pam dan sistem saliran lain di kawasan pertanian yang terjejas, khususnya bagi tanaman padi yang sangat bergantung kepada bekalan air yang berterusan.
“Kementerian sentiasa mengikuti perkembangan iklim serta ramalan cuaca kerana perubahan cuaca yang melampau seperti kemarau atau banjir boleh menjejaskan hasil dan operasi pesawah serta peladang.
“Sebagai langkah persediaan, kita telah memperuntukkan dana khusus untuk kerja-kerja yang berkaitan dengan peningkatan infrastruktur saliran agar bekalan air ke kawasan pertanian tidak terputus sekiranya berlaku kemarau,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Mekanisasi Pertanian Peringkat Negeri Perak di Dewan Datuk Zainal Abidin di sini hari ini.
Arthur berkata, antara kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi berdepan masalah air adalah seperti Bukit Merah di sini dan pihak kementerian bersedia melaksanakan kerja teknikal seperti menaik taraf rumah pam dan saliran bagi memastikan tanaman padi dapat diteruskan.
“Air adalah elemen utama dalam penanaman padi, maka keutamaan akan diberikan kepada kawasan sawah. Kita tidak mahu hasil petani terjejas kerana kekurangan air,” katanya.
Tambah beliau, kementerian turut menyediakan beberapa bentuk bantuan bencana bagi mengurangkan beban petani sekiranya berlaku kerugian akibat cuaca ekstrem.
“Bantuan yang disediakan bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi juga berbentuk insentif atau bantuan khas jika berlaku bencana pertanian,” katanya. – UTUSAN