RM300 juta bantu sektor perikanan, bela komuniti nelayan

RM300 juta bantu sektor perikanan, bela komuniti nelayan

AHMAD Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat JPT-PPN di Putrajaya. - GAMBAR TPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM300 juta RM300 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) memperkukuh sektor perikanan negara serta memperkasa komuniti nelayan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi peruntukan ini, kerajaan memastikan kelangsungan sumber laut negara, kebajikan nelayan, dan integriti sistem subsidi terus dipelihara.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Nelayan (JPT-PPN) itu berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan dua skim utama iaitu pertama, Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan bagi menaik taraf vessel dan automasi industri perikanan.

“Satu lagi skim ialah Skim Geran Padanan untuk Penggantian Pukat Tunda dan Bot ke arah kaedah tangkapan yang lebih lestari dan mesra alam. Setiap skim ini diperuntukan RM150 juta,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat JPT-PPN di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, hasil sesi libat urus komuniti nelayan sejak November tahun lalu mengenal pasti 37 isu utama nelayan dan sebanyak 46 peratus isu telah diselesaikan melalui tindakan rentas kementerian.

Katanya, Projek Transformasi Ekonomi Nelayan Melalui Akuakultur (TEMAN-AKUA): Akuakultur untuk Nelayan B40 akan dilaksanakan dengan menyasarkan nelayan tidak berlesen di Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis untuk beralih ke industri akuakultur.

“Pelaksanaan empat fasa akan melibatkan ternakan kerang dan kupang, dengan potensi pulangan RM50 juta setahun.

“Kos keseluruhan RM5 juta bagi tempoh 2025–2029 akan disokong melalui Program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur,” katanya.

Selain itu, katanya, Program Latihan dan Geran Keusahawanan Nelayan Tempatan diperkenalkan dan Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Lumut, Perak, akan melatih tekong dan nelayan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kru asing.

Jelas beliau, program termasuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), latihan jangka pendek dan sokongan geran keusahawanan sehingga RM200,000 disediakan dan sebagai permulaan, Projek Rintis 2025 akan melibatkan 50 peserta.

“Op Tiris 1.0 hingga 3.0 berjaya membanteras penyelewengan subsidi diesel dengan 1,600 tangkapan dilakukan melibatkan nilai lebih RM400 juta.

“Pelaksanaan penyasaran subsidi bermula 10 Jun 2024 di Semenanjung memastikan nelayan masih menerima subsidi RM1.65/liter melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), manakala penguatkuasaan di Sabah, Sarawak dan Labuan diperhebatkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap ketirisan dan penyelewengan, sebaliknya akan terus memperkukuh dasar secara bersasar, memperkasakan kapasiti nelayan, dan memastikan keberlangsungan industri perikanan sebagai salah satu tunggak keterjaminan makanan negara. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN