IPOH: Kerajaan Perak memperuntukkan RM20 juta setiap tahun bagi pengurusan lima buah Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, peruntukan tersebut membabitkan pembayaran emolumen guru, program latihan, makanan pelajar dan penyelenggaraan.
Katanya, sehingga kini, lima buah SMTDR telah beroperasi iaitu daerah Manjung di Pulau Pangkor, Kerian (Semanggol), Hulu Perak (Lenggong), Batang Padang (Sungai Lesung) dan Kinta (Ipoh).
“Pendidikan agama sentiasa menjadi tunjang penting dalam usaha membentuk insan yang seimbang antara jasmani, rohani, emosi dan intelek.
“Di sinilah letaknya kekuatan sekolah menengah agama, ia bukan hanya menyampaikan ilmu tetapi juga memupuk nilai, membina akhlak dan membentuk keperibadian menjadi insan yang berguna kepada masyarakat,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah pada Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) peringkat kebangsaan kali ke-11 2025 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.
Menurut beliau, Belanjawan Perak 2025 turut memperuntukkan hampir RM112 juta kepada Majlis Agama Islam Perak (JAIPk) meliputi pengurusan institusi Islam, sekolah-sekolah agama dan penyelenggaraan serta naik taraf infrastruktur masjid, surau dan sekolah.
Katanya, tambahan RM15 juta juga disalurkan untuk membaik pulih dan membina masjid dan surau baru selain peruntukan RM5 juta lagi bagi pemerkasaan institusi pendidikan Islam.
“Selain itu, institusi Islam seperti masjid, surau dan pusat komuniti JAIPk juga terus diperkasakan sebagai pusat pembangunan rohani dan masyarakat.
“Antara yang diteruskan termasuk kelas Al-Quran, program bimbingan akhlak, motivasi pelajar dan kem sahsiah,” katanya.
Tambahnya, segala inisiatif itu digerakkan dengan satu tujuan yang sama iaitu membentuk generasi berilmu, berakhlak dan bersedia menjadi pemimpin masyarakat dengan panduan nilai Islam yang menyeluruh.
“Pendidikan agama tidak boleh dilihat sebagai pengajian yang terasing atau lapuk, malah ia perlu diperkasakan supaya kekal relevan dan mampu menghadapi cabaran zaman,” katanya.
Pada program tahunan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama pihak berkuasa agama negeri itu, Selangor muncul juara keseluruhan MIISMAM selepas meraih tiga johan, tiga naib juara dan tiga tempat ketiga. – UTUSAN