SUBANG JAYA: Taylor’s College menerusi inisiatif RISE Educator Award terus memperkukuh komitmen dalam memperkasa peranan pendidik apabila menobatkan seorang guru pendidikan khas dari Sabah, Stefanus Lucas, sebagai penerima utama anugerah berprestij itu bagi tahun 2025.
Pengiktirafan tersebut bukan sahaja menonjolkan kisah kejayaan seorang pendidik luar bandar dalam mendidik murid berkeperluan khas menggunakan pendekatan muzik, malah menyerlahkan ketabahan serta daya inovasi guru dalam keadaan serba kekurangan.
Stefanus menerima wang tunai RM5,000 manakala sekolah tempat beliau berkhidmat, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (P) Kota Kinabalu, turut memperoleh geran pembangunan sebanyak RM50,000 bagi merealisasikan projek bilik muzik inklusif yang diilhamkannya.
Majlis penyampaian anugerah berkenaan diadakan sempena penganjuran RISE Educator Conference 2025 bertemakan “Pengajaran Berimpak Tinggi, Pembelajaran Bermakna.”

PENGIKTIRAFAN GURU LUAR BIASA
Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan berkata, RISE Educator Award yang kini memasuki tahun kelima penganjuran bukan sekadar mengiktiraf guru cemerlang, malah telah berkembang menjadi platform kolaboratif yang menyatukan warga pendidik dan komuniti dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negara.
Katanya, guru-guru seperti Stefanus bukan sekadar ‘wira senyap’, bahkan menyimpan khazanah ilmu berharga dalam menangani cabaran pendidikan murid berkeperluan khas.
“Selama beberapa tahun ini, kami diberi peluang mengenali pendidik hebat dari pelbagai latar belakang dan saya secara peribadi amat terinspirasi dengan ketabahan mereka, khususnya dalam mendidik murid di kawasan pedalaman dengan sumber amat terhad.
“Mereka bukan sahaja layak untuk dikenali, malah pengalaman dan kepakaran mereka perlu dikongsi lebih meluas agar dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai para pendidik,” katanya.
SERUAN LIBAT URUS IBU BAPA
Josephine turut menggesa masyarakat, terutama ibu bapa untuk memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong usaha guru serta mempercayai institusi pendidikan sebagai rakan strategik dalam membangunkan potensi anak-anak.
“Kadangkala, penerimaan terhadap pendidikan bermula dari rumah. Jika ibu bapa tidak yakin atau sukar untuk ‘melepaskan’ anak kepada guru, sukar untuk proses pendidikan berlaku secara menyeluruh.
“Pendidikan bukan hanya tanggungjawab sekolah, ia menuntut sokongan semua pihak termasuk keluarga, komuniti dan masyarakat,” ujarnya.
Josephine berkata, Taylor’s College percaya pelaburan terhadap guru adalah pelaburan jangka panjang negara dan menerusi anugerah ini, pihaknya bertekad untuk terus mencungkil, menyokong serta memperkasa lebih ramai pendidik di seluruh Malaysia.

ILHAM BILIK MUZIK INKLUSIF
Sementara itu, Stefanus ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan yang diterimanya.
“Saya sangat teruja dan secara jujur tidak menyangka akan menang. Saya sudah cukup gembira jika sekadar terpilih dalam lima terbaik kerana itu sahaja sudah memadai untuk membantu usaha menubuhkan bilik muzik di sekolah saya,” katanya.
Stefanus berkata, sebanyak 70 peratus daripada wang hadiah akan dimanfaatkan untuk menambah baik bilik muzik sedia ada termasuk pemasangan elemen kalis bunyi yang bersesuaian dengan keperluan murid bermasalah pendengaran.
“Baki 30 peratus akan digunakan bagi pembelian pelbagai peralatan muzik bagi menarik minat pelajar agar lebih seronok menuntut ilmu.
“Saya mahu wujudkan sebuah ruang yang menggabungkan elemen moden dan tradisional. Saya juga telah berbincang dengan beberapa guru berpengalaman yang mencadangkan penggunaan lantai kayu atau karpet untuk mengurangkan getaran dan meningkatkan akustik dalam bilik tersebut,” ujarnya.
INSPIRASI KEPADA GURU PENDIDIKAN KHAS
Menurut Stefanus, anugerah ini bukan sahaja merupakan penghargaan kepada dirinya secara individu, malah menjadi platform penting untuk mengetengahkan keperluan pendidikan khas secara lebih meluas.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada kami membina bilik muzik mesra Orang Kurang Upaya (OKU) yang belum pernah diwujudkan secara khusus untuk pelajar pekak, sekurang-kurangnya di Sabah dan mungkin juga di Malaysia.
“Masih ramai yang menganggap pelajar pekak tidak boleh belajar muzik kerana tidak dapat mendengar. Tapi saya sudah lihat sendiri bagaimana mereka boleh mempelajari muzik melalui getaran, visual dan pergerakan,” katanya.
LEBIH 1,000 PENCALONAN GURU
Anugerah RISE Educator Award bagi tahun ini menerima lebih 1,000 pencalonan serta 65,000 undian awam dari seluruh negara.
Selain Stefanus, empat finalis lain turut menerima wang tunai RM1,000 serta geran RM10,000 kepada sekolah masing-masing untuk menambah baik kemudahan pembelajaran murid secara menyeluruh.
Penerima dipilih menerusi penilaian menyeluruh panel juri profesional yang menyumbang 75 peratus markah, manakala 25 peratus lagi berdasarkan jumlah undian awam.
Setiap inisiatif dinilai berdasarkan sejauh mana keberkesanannya terhadap murid, tahap inovasi yang ditampilkan serta keupayaan untuk dikekalkan dalam jangka masa panjang.
Sepanjang penubuhannya, RISE Educator Award telah memberi penghargaan kepada 18 orang pendidik dan menyalurkan lebih RM200,000 dalam bentuk geran pembangunan pendidikan kepada sekolah-sekolah di seluruh negara.
Kejayaan RISE Educator Award tahun ini diperkukuhkan melalui kerjasama strategik bersama Teach For Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang memainkan peranan penting dalam memastikan ketelusan penjurian serta kelulusan rasmi anugerah tersebut.
Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM, Fadzliaton Zainudin. – UTUSAN