Repertoire belum cukup matang, Hazama enggan terburu-buru buat konsert - Utusan Malaysia

Repertoire belum cukup matang, Hazama enggan terburu-buru buat konsert

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Bila lagu-lagu saya sudah cukup ‘ masak’, baru saya buat konsert. Sekarang belum masanya lagi.”

Demikian kata penyanyi, Hazama Azmi yang enggan terburu-buru untuk mengadakan konsert solo memandangkan dirinya sedar repertoire miliknya belum cukup matang untuk dipersembahkan kepada umum.

Menurut Hazama, dia kini sedang giat mengumpul karya lagu yang berkualiti selain mahu memberi peluang kepada penyanyi yang lebih senior untuk mengadakan konsert terlebih dahulu.

“Pada saya, sekarang ini biarlah penyanyi seperti Misha Omar, Spider, Dayang Nurfaizah dan beberapa lagi penyanyi yang lebih senior mengadakan konsert dahulu.

“Lagu mereka juga sudah cukup ‘masak’ untuk dipersembahkan kepada umum. Penyanyi seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M.Nasir, Wings dan Search itu mereka sudah mempunyai tahap yang berbeza.

“Sekarang, saya mahu kumpulkan lagu dahulu supaya yang dipersembahkan nanti juga hanyalah lagu saya sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharunya yang berjudul Aku Bukan Narsisis, baru-baru ini.

Meskipun sudah memiliki lebih 30 buah lagu, Hazama mengakui koleksi lagu yang ada kini belum cukup untuk meninggalkan kenangan buat pendengar di konsert berskala besar nanti.

“Saya hanya ada beberapa sahaja lagu rancak dan selebihnya lagu sedih. Saya tidak mahu nanti apabila saya buat konsert mereka tidak dapat sesuatu yang bermakna daripada konsert itu.

“Saya juga mahu pastikan lagu yang saya hasilkan ada memori yang kuat barulah penonton pun seronok sebab teringat memori lama. Contohnya, sepertu konsert KRU, kita yang bukan lahir pada zaman itu boleh menyanyi bersama.

“Saya lihat, ramai penyanyi yang baru setahun lancarkan lagu sudah buat konsert. Lagu pun tidak sempat cipta sebarang memori. Pada akhirnya, hanya bertahan beberapa tahun sahaja,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Hazama baru sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Aku Bukan Narsisis ciptaan Farouk Roman yang juga merupakan runut bunyi untuk drama, Dia Bukan Syurga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN