PETALING JAYA: Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang bekerjasama dengannya sepanjang tempoh beliau menerajui Kementerian Ekonomi.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau berterima kasih kepada kakitangan kementerian dan pelbagai agensi yang bernaung di bawah kementerian itu termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia, Pihak Berkuasa Koridor, Majlis Petroleum Negara Malaysia, agensi-agensi mandat Bumiputera serta agensi luar seperti Jabatan Digital Negara (dahulunya MAMPU), Majlis Perundingan Gaji Negara dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.
“Saya terhutang budi dengan semua kakitangan Kementerian Ekonomi dan agensi di bawahnya. Saya banyak belajar daripada mereka dalam menjalankan tugas saya, lebih banyak daripada mereka belajar daripada saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohd. Rafizi berkata, skop luas tanggungjawab Kementerian Ekonomi bukan sekadar tertumpu kepada bidang ekonomi semata-mata, tetapi turut merentasi sektor lain seperti kewangan, pertanian, pendidikan, kesihatan dan perpaduan nasional.
Katanya, kementerian tersebut berperanan sebagai agensi pusat yang menggubal dasar perancangan makro negara dan berfungsi mengawal selia pelaksanaan projek pembangunan melalui mekanisme kelulusan Belanja Pembangunan.
“Seorang menterinya perlu tahu mengenai pertanian, kesihatan, tenaga, pendidikan dan semua bidang sehinggalah pelaksanaan projek, selain dari skop biasa yang bersabit makro ekonomi,” ujarnya.
Mohd. Rafizi juga mengakui bahawa sebagai individu yang pertama kali memegang jawatan menteri, beliau perlu banyak bertanya dan belajar daripada penjawat awam berpengalaman.
Dalam hal ini, beliau memuji sikap keterbukaan dan kesediaan kakitangan awam untuk berkongsi ilmu.
“Kalau penjawat awam kedekut ilmu, atau tidak memberi jawapan yang betul. Maka, menteri itu tidak akan membina kemahiran yang diperlukan dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Beliau berkata, beliau tidak bimbang dengan kemampuan kerajaan merencana pembangunan negara, kerana yakin dengan komitmen dan integriti penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara.
“Saya tidak bimbang dengan kemampuan kerajaan merencana kemajuan negara kerana tulang belakangnya terdiri dari penjawat-penjawat awam yang sayangkan negara. Saya akan menyiarkan ucapan terakhir kepada seluruh warga Kementerian Ekonomi dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN