PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) bagi meneliti prestasi semasa syarikat di bawah agensi tersebut.
Perdana Menteri berkata, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) juga disaran kekal konsisten dalam memperkasa usahawan bumiputera melalui akses kepada pembiayaan serta program peningkatan kapasiti dan daya saing.
Selain itu katanya, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) perlu melipatgandakan usaha meningkatkan celik pelaburan dalam kalangan masyarakat terutamanya bumiputera.
“Memperkukuh daya saing ekonomi domestik penting bagi menjamin pulangan mampan kepada para pemegang unit amanah di tengah ketidaktentuan ekonomi global.
“Semua agensi dan syarikat berkaitan Kerajaan yang memegang mandat pembangunan Bumiputera perlu terus menjadi pemacu dasar dan pelaksana utama inisiatif kerajaan terutamanya menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35),” kata dalam Facebook beliau hari ini.
Inisiatif tersebut selari dengan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh ekuiti dan pencapaian ekonomi Bumiputera secara mampan dan menyeluruh. – UTUSAN