Pulau Pinang ulangi desakan mahu hasil cukai dipulangkan - Utusan Malaysia

Pulau Pinang ulangi desakan mahu hasil cukai dipulangkan

Chow Kon Yeow
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan Pulau Pinang sekali lagi menggesa Kerajaan Pusat memperkenalkan formula perkongsian hasil cukai kepada semua negeri selaras dengan sumbangan masing-masing terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sudah tiba masanya untuk Kerajaan Pusat mempertimbangkan tuntutan tersebut secara serius dan bukan lagi sekadar mengetepikannya.

“Saya telah mengambil inisiatif sejak tahun lepas untuk meminta 20 peratus daripada cukai yang dikutip daripada negeri ini dikongsikan semula kepada Pulau Pinang. Namun, ia tidak diterima.

“Jadi, ini mungkin masa yang sesuai untuk Kerajaan Pusat mengiktiraf sumbangan kita dan melihat secara serius permintaan kita untuk perkongsian hasil ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada 29 Mei 2024, Kon Yeow menyuarakan cadangan agar Kerajaan Pusat mengkaji semula sistem pengagihan hasil cukai kepada negeri-negeri, termasuk mengembalikan 20 peratus wang terbabit yang dikutip daripada Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, cadangan agar hasil dikembalikan kepada negeri bukanlah satu permintaan baharu sebaliknya usaha berterusan demi memastikan negeri mempunyai dana yang mencukupi untuk pembangunan dan program kebajikan sosial.

“Kalau bukan 20 peratus, kenapa tidak mula dengan 10 peratus dahulu? Jika 20 peratus membebankan, kita faham. Tapi, negeri juga ada kekangan untuk mendapatkan hasil bagi mentadbir,” katanya.

Kon Yeow berkata, sumbangan Pulau Pinang kepada ekonomi negara terbukti menerusi pelaburan besar yang diterima negeri itu termasuk dalam sektor pembuatan dan separa konduktor.

“Kita tidak mentadbir negeri secara berasingan, sebaliknya (mentadbir) dalam konteks Malaysia. Justeru, wajar sumbangan negeri diiktiraf dengan formula perkongsian hasil yang adil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN