Proses mediasi saman fitnah Chow Kon Yeow pada 2 Julai

Proses mediasi saman fitnah Chow Kon Yeow pada 2 Julai

CHOW Kon Yeow (dua dari kanan) ketika hadir ke Pusat Mediasi Mahkamah Pulau Pinang di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang,George Town, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pusat Mediasi Mahkamah Pulau Pinang hari ini menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh baharu bagi sesi mediasi seterusnya antara Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan bekas Timbalan Ketua Menteri II, Dr P. Ramasamy, berhubung isu penjualan tanah di Batu Kawan.

Dr. Ramasamy sebelum ini telah memfailkan saman fitnah terhadap Kon Yeow pada 18 Julai tahun lalu dan ini merupakan sesi mediasi kedua selepas yang pertama berlangsung pada 14 April.

Kon Yeow mengesahkan bahawa proses mediasi masih berjalan dan sesi seterusnya akan berlangsung pada 2 Julai.

“Mediasi hari ini melibatkan saman fitnah yang berpunca daripada pembatalan perjanjian penjualan tanah antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Umech Land Sdn Bhd.

“Saman fitnah pertama difailkan oleh Ramasamy terhadap saya manakala saman kedua difailkan oleh PDC terhadap Ramasamy,” katanya selepas sesi mediasi di Pusat Mediasi Mahkamah Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dalam kes tersebut, Kon Yeow diwakili oleh peguam, Datuk V. Sithambaram manakala seorang lagi peguam, Dr. Shamsher Thind Singh pula hadir mewakili Ramasamy.

Sebelum ini, Ramasamy memfailkan saman fitnah terhadap Kon Yeow berhubung satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Ketua Menteri itu pada 3 Oktober 2023, yang didakwa telah mencemarkan reputasi beliau secara serius sebelum disiarkan media tempatan dan ditularkan oleh pengguna di media sosial.

Ramasamy mendakwa, hantaran Facebook tersebut mengandungi tuduhan palsu mengenai penglibatannya dalam kelulusan perjanjian antara PDC dan Umech Land dan dalam pernyataan tuntutannya, beliau menuntut ganti rugi daripada Kon Yeow yang akan ditentukan oleh mahkamah.

Selain itu, Ramasamy juga memohon agar satu perintah injunksi mandatori supaya Kon Yeow menarik balik kenyataan tersebut serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

Pada masa yang sama, beliau turut memohon injunksi larangan bagi menghalang Kon Yeow daripada mengulangi kenyataan fitnah yang didakwa itu serta kos guaman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN