JERANTUT: Projek perumahan di Simpang Jengka Lapan di sini yang terbengkalai sejak 20 tahun lalu mengecewakan penduduk sekitar.
Menurut penduduk, pembinaan 100 unit rumah kos rendah yang kini terbiar itu telah menyebabkan kawasan berkenaan dilitupi semak-samun malah menjadi habitat binatang liar seperti babi hutan dan kera.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Gelanggi Satu, Abd. Rahman Abd Ghani, 62, berkata, keadaan itu menimbulkan tanda tanya penduk mengenai status projek tersebut.
Mereka berharap kerajaan dapat campur tangan untuk memastikan projek pembinaan rumah itu dapat segera disiapkan sekali gus memberi manfaat kepada penduduk khususnya dalam kalangan generasi muda di Felda terbabit.
“Walaupun segala keputusan dan perancangan di bawah pemaju berkenaan, tetapi sewajarnya rumah mampu milik itu dibina sehingga siap kerana masih ramai generasi kedua anak peneroka di sini belum lagi mempunyai kediaman sendiri.
“Kami hairan kenapa projek kediaman boleh terbiar hampir 20 tahun dan tidak adakah di pihak kerajaan negeri sendiri cakna dengan situasi ini sekurang-kurangnya tampil berunding dengan pemaju supaya segera disiapkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.










