KUALA LUMPUR: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menyambut baik saranan agar penglibatan murid seawal Darjah 1 dalam gerakan pengakap dipertimbangkan semula oleh kerajaan dan Kementerian Pendidikan (KPM).
Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Prof. Dr. Mohd. Zin Bidin berkata, pihaknya telah lama menyediakan kurikulum lengkap yang sesuai untuk murid berumur tujuh hingga sembilan tahun bagi menyertai pergerakan tersebut sejak di bangku rendah.
Menurut beliau, jurang penyertaan antara murid prasekolah yang menyertai program Pengakap Lebah dan murid Tahun 4 yang baru kembali menyertai badan beruniform perlu diatasi segera.
“Ketika ini sistem badan beruniform di sekolah hanya bermula pada Tahun 4, bagi saya inilah satu peluang yang baik untuk kita melatih kepimpinan muda untuk masa depan negara.
“Cadangan melibatkan murid Tahun 1 amat tepat dan kami menyokong sepenuhnya saranan Nurul Izzah Anwar yang melihat ia sebagai langkah memperkukuh pembangunan karakter anak-anak sejak awal usia,” katanya selepas program Majlis Penutupan Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik (APR SIAW) 2025 di AnCasa Hotel di sini, hari ini.
Majlis penutupan itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang menyifatkan gerakan pengakap sebagai medium terbaik memupuk persefahaman rentas budaya dan membentuk kepimpinan belia.
Jelas beliau, pendekatan itu selaras dengan amalan di negara seperti Filipina, Maldives dan Hong Kong yang telah lama membenarkan kanak-kanak seawal usia empat tahun menyertai aktiviti pengakap secara rasmi.
Tambahnya, murid masa kini jauh lebih bersedia dengan kemahiran teknologi dan komunikasi, serta memiliki ciri kepimpinan sejak kecil yang wajar digilap melalui wadah bukan formal seperti pengakap.
“Gerakan ini bukan sekadar kokurikulum, ia adalah ruang membina jati diri, semangat patriotik, disiplin dan kerjasama, nilai yang diperlukan oleh pemimpin masa depan negara,” katanya.
PPM turut menyatakan ibu bapa boleh mendaftarkan anak mereka di unit pengakap berasaskan komuniti yang beroperasi di seluruh negara, sementara menunggu dasar rasmi diubah di peringkat sekolah.
Kerajaan disaran mempertimbangkan untuk membenarkan penglibatan murid seawal usia darjah satu dalam gerakan pengakap.
Langkah pengenalan awal kepengakapan itu selaras dengan perkembangan positif yang telah dilaksanakan di beberapa negara lain, kata Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar, ketika Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik 2025, khamis lalu. – UTUSAN