LUMUT: Temasya Budaya@Negeri Perak mampu diangkat menjadi produk pelancongan peringkat antarabangsa, sekali gus menarik kehadiran lebih ramai pelancong asing ke negeri ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, usaha itu memerlukan kerjasama dengan agensi berkaitan pelancongan di peringkat pusat dan negeri.
Katanya, kerjasama itu membolehkan temasya berkenaan diangkat sebagai elemen pelancongan budaya.
“Saya rasa usaha-usaha promosi, publisiti dan pemasaran perlu dibuat oleh pelbagai pihak termasuk pihak pelancongan untuk memastikan program seperti ini bukan sahaja dikunjungi pelancong tempatan, tetapi juga pelancong-pelancong luar negara,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di pekarangan Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini, semalam.
Mohd. Amran berkata, penganjuran program sedemikian dapat memastikan adat budaya yang semakin dilupakan dapat dipulihara dan diwarisi oleh generasi ke generasi.
Katanya, ada adat dan tradisi lama dilakukan pembaharuan bagi memastikannya lebih menarik termasuk untuk menanam minat generasi muda ikut serta memeliharanya.
“Hari ini saya melihat demonstrasi adat berendoi (meraikan kelahiran baharu) yang hampir pupus, tetapi ada juga pertubuhan di peringkat kampung yang cuba terus memelihara adat itu.
“Sebelum ini, adat berendoi hanya melibatkan acara marhaban dan selawat, tetapi saya agak terkejut apabila ia turut diraikan dengan pukulan rebana Perak,” katanya.
Katanya, pembaharuan itu membolehkan tradisi berendoi menjadi lebih menarik.
Beliau berkata, temasya itu turut meletakkan elemen kesenian seperti rebana Perak, tarian dabus dan seni kraftangan sebagai keistimewaan program.
Katanya, turut diadakan demonstrasi permainan tradisional serta kesenian kaum India, Cina dan Orang Asli yang mencerminkan kepelbagaian adat di Perak. – UTUSAN