Polis siasat pergerakan ‘Raja Dadah Antarabangsa’ India

Polis siasat pergerakan ‘Raja Dadah Antarabangsa’ India di negara ini

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat semua pergerakan dan aktiviti seorang lelaki warga India yang dipercayai raja dadah antarabangsa yang ditahan di sebuah hotel di ibu negara pada 13 Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, walaupun suspek telah dihantar pulang ke negara asalnya ada 27 Mei lalu namun siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti pergerakan lelaki berusia 35 tahun itu sepanjang berada di negara ini.

“Kita sedang siasat individu yang bertemu dengan suspek, lokasi yang dikunjungi serta tujuan sebenar dia berada di Malaysia.

“Kita tidak mahu mengambil risiko. PDRM tidak akan membenarkan mana-mana pihak asing datang ke Malaysia untuk menubuhkan rangkaian pengedaran dadah atau menjalankan urus niaga dadah di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Razarudin berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak menjalankan sebarang aktiviti pengedaran dadah ketika berada di negara ini, namun tindakan lanjut dan risikan sedang dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Media semalam melaporkan Razarudin mengesahkan PDRM berjaya menahan ‘kingpin’ warga India di sebuah hotel di ibu negara kira-kira 1.35 pagi pada 13 Mei lalu selepas diburu pihak berkuasa kerajaan India.

Razarudin dilaporkan berkata, lelaki berkenaan disenaraikan sebagai individu dikehendaki atau penjenayah buruan oleh kerajaan India.

Beliau dilaporkan berkata, lelaki itu dipercayai berada di negara ini sejak awal tahun ini dengan menggunakan pas pelancong.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(I) Akta Imigresen 1959 dan 1963,” katanya.

Menurut beberapa portal berita India, suspek dikenali sebagai Naveen Chichkar, 35, mempunyai latar belakang dalam psikologi jenayah serta pernah mengikuti pengajian dalam bidang filem dan televisyen di London.

Sementara itu, portal berita India melaporkan Chichkar merupakan individu yang dikehendaki oleh Biro Kawalan Narkotik (NCB) India dalam beberapa kes berkaitan pengedaran dadah di negara tersebut.

Beliau disyaki mengetuai satu sindiket dadah rentas sempadan yang mengedar kokain dan ganja hidroponik hibrid bernilai lebih RM635 juta, dipercayai diseludup dari Amerika Syarikat ke India menggunakan penghantaran kargo udara.

Dadah itu kemudiannya diedarkan ke beberapa negeri di India serta dieksport semula ke pasaran luar, termasuk Australia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN