Polis sahkan video kejadian nahas babit bas bawa pelajar UPSI

Polis sahkan video tular babitkan kejadian nahas babit bas bawa pelajar UPSI

TANGKAP layar video tular di media sosial yang disahkan sebagai kejadian nahas membabitkan bas membawa pelajar UPSI yang mengorbankan 15 mangsa di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesahkan rakaman video yang tular di media sosial adalah kejadian nahas membabitkan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan

Perodua Alza yang mengorbankan 15 mangsa di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, rakaman kejadian terbabit diperoleh daripada seorang pemilik kenderaan yang tampil kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Kejadian terbabit dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan terbabit dan ia diserahkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.

“Kami sedang menganalisis rakaman tersebut sebagai bahan bukti untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, tular rakaman berdurasi 34 saat itu memaparkan sebuah kenderaan dipandu dalam keadaan gelap sebelum sebuah bas dilihat memotong dengan laju ketika menghampiri selekoh.

Bas berkenaan kemudian hilang kawalan lalu terbalik di atas pembahagi jalan, hanya beberapa meter di hadapan kenderaan yang merakam kejadian itu.

Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta dipercayai yang merakam kejadian terbabit kemudiannya dilihat memotong bas yang terbalik sebelum video tersebut tamat.

Terdahulu, media melaporkan seramai 15 maut dalam nahas membabitkan bas membawa pelajar UPSI yang dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu, hari ini.

Mohd. Yusri dilaporkan berkata, pihaknya akan menyiasat dari pelbagai sudut termasuk dakwaan bas itu dipandu laju.

Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN