SIBU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu melancarkan Operasi Kesan bagi menjejaki seorang tahanan warga Indonesia yang meloloskan diri dari lokap Balai Polis Sentral Sibu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata suspek, 25, yang hanya dikenali sebagai Buni sedang ditahan reman bagi kesalahan rogol dipercayai melarikan diri kira-kira pukul 4 petang, dengan masih memakai pakaian lokap polis berwarna ungu serta bergari.
“Operasi Kesan telah dilancarkan serta-merta melibatkan semua elemen pasukan polis bagi menjejaki dan menangkap semula tahanan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung keberadaan suspek agar segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu di talian 084-344111 atau 019-8867978 untuk berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, ASP Mingat Bakil atau tampil ke mana-mana balai polis yang berhampiran.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa demi keselamatan bersama. – UTUSAN