TELUK INTAN: Polis sedang memburu tiga suspek kes samun bersenjatakan parang di sebuah premis hiburan di Jalan Changkat Jong Ahad lalu yang video kejadian itu tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, laporan kejadian itu dibuat oleh seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan pengawal keselamatan premis berkenaan pada pukul 1.02 pagi hari yang sama.
Katanya, dalam kejadian itu, tiga suspek lelaki bertopeng menaiki sebuah kereta jenis Honda dengan nombor pendaftaran ditanggalkan telah menyerbu masuk ke dalam premis tersebut.
“Kumpulan penjenayah itu kemudiannya bertindak memecahkan barangan di dalam premis dan mengambil telefon bimbit milik pekerja serta wang tunai sebanyak RM2,000 dari kaunter.
“Selain itu, mereka turut memecahkan cermin empat buah kenderaan dan mencederakan dua pelanggan menggunakan parang di dalam dan luar premis,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan berjaya mengenal pasti seorang daripada suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, suspek terbabit kini dikesan dan telah dimasukkan ke dalam senarai orang dikehendaki.
“Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah melawat tempat kejadian dan menemui beberapa bahan bukti termasuk kesan darah, dua cap jari dan serpihan kaca.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian juga telah diperoleh bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah beliau, kertas siasatan kes itu dibuka di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi kesalahan samun berkawan menggunakan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat. – UTUSAN