PETALING JAYA: Kumpulan lelaki memakai topeng ski dan bersenjata api diburu polis berhubung pembunuhan dua individu di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras dekat sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 12.48 tengah malam.
“Dalam kejadian itu, sekumpulan lelaki bertopeng ski berwarna hitam melepaskan tembakan dari sebuah kenderaan jenis Perodua Alza.
“Dua lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 40-an terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengenal pasti dan mengesan suspek terbabit.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).
“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.
Media melaporkan dua lelaki mati ditembak dalam kejadian di hadapan sebuah pusat beli-belah di sini, awal pagi hari ini.
Kejadian dipercayai berlaku pada 12.15 tengah malam ketika kedua-dua mangsa dilaporkan sedang menuju ke arah kereta yang diletakkan di pekarangan pusat beli-belah berkenaan.
Menurut saksi, sekumpulan lelaki yang memakai topi keledar secara tiba-tiba berlari ke arah kedua-dua mangsa yang pada ketika itu berada di bahagian luar perkarangan pusat beli-belah.
“Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sehingga kedua-dua mereka terbaring berlumuran darah.
“Kumpulan lelaki terbabit yang dilaporkan bersenjata pistol kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta Perodua Alza,” katanya. – UTUSAN