KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) tidak berminat mengajak dua bekas pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad termasuk Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dari UMNO untuk bersama gabungan itu.
Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, gabungan itu tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mereka semasa sidang Parlimen.
“Tak perlu rasanya sekarang ini (jemput Rafizi, Nik Nazmi dan Tengku Zafrul). Kalau dia (mereka) nak sokong tu sokonglah. Kita (PN) sudah cukup ramai (ahli Parlimen) dan sokongan kita pun dan cukup.
“Jika mereka mahu sertai PN, itu atas mereka sendiri. Namun, Rafizi dan Nik Nazmi tertakluk kepada isu lompat parti,” katanya pada sidang akhbar Penyerahan Memorandum Bantahan Akta Pembaharuan Semula Bandar (APSB) di Pusat Khidmat Ahli Parllimen Kota Bharu, di sini semalam.
Mengulas lanjut mengenai tindakan Tengku Zafrul yang keluar dari UMNO dan mahu menyertai PKR, Setiausaha Agung Pas itu memberitahu, ia disifatkan sebagai tidak berpendirian.
Selain itu, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menafikan kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR dengan tujuan mengisi kekosongan salah satu jawatan menteri yang dikosongkan.
Katanya, Tengku Zafrul tidak lagi boleh dilantik sebagai menteri apabila tempoh khidmatnya sebagai senator tamat pada Ogos nanti berikutan beliau telah kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) lalu.
“Kecualilah kalau ada orang mengosongkan kerusi Parlimen, kemudian beliau (Tengku Zafrul) bertanding dan menang. Kalau tidak tempoh khidmat beliau sebagai Senator akan tamat dan tidak boleh kembali sebagai menteri.
“Kita dengar dia akan ke ‘state’ (kerajaan negeri) tetapi tak tahulah. Itu perancangan merekalah. Tempoh khidmat senator di Dewan Negara hanya enam tahun dan beliau (Tengku Zafrul) telah dilantik bermula tahun 2020 lagi,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Rafizi yang mengumumkan pengunduran sebagai Menteri Ekonomi selepas kalah pemilihan PKR bagi jawatan Timbalan Presiden.
Susulan itu, Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, sekali gus menjadikan beliau anggota Kabinet kedua yang berundur selepas kalah pemilihan Naib Presiden PKR..
Tengku Zafrul pula meninggalkan UMNO kerana mahu menyertai PKR sekali gus mencetuskan tidak puas hati dalam kalangan pemimpin dan akar umbi UMNO.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kemudian menegaskan adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti lain.-UTUSAN










