PETALING JAYA: PMB Investment Berhad (PMB Investment), syarikat pengurusan dana Islam (IFMC) di bawah Pelaburan MARA Berhad, mengumumkan agihan pendapatan bagi Dana Al-Aiman sebanyak 2.52 sen seunit, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM4.46 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025.
Nilai Aset Bersih (NAB) seunit sebelum agihan ialah RM0.4046, dan diselaraskan kepada RM0.3794 selepas agihan.
Agihan ini yang dikreditkan berdasarkan tarikh selepas 31 Mei 2025, mewakili hasil sebanyak 5.01 peratus berdasarkan NAB penutupan dana.
Ketua Pegawai Pelaburan PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, Dana Al-Aiman kekal memberi pulangan stabil kepada pelabur selain mengekalkan modal pelaburan.
“Setakat 31 Mei 2025, dana ini mencatatkan pulangan terkumpul tiga tahun sebanyak 16.76 peratus atau purata pulangan tahunan sebanyak 5.56 peratus.
“Pencapaian ini mencerminkan pendekatan pelaburan kami yang berdisiplin, tadbir urus kukuh serta komitmen terhadap penciptaan nilai mampan untuk para pelabur,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Hang Tuah, dana yang dilancarkan pada 1968 itu merupakan dana pertama diperkenalkan PMB Investment dan memperuntukkan antara 70 hingga 99.5 peratus NAB kepada ekuiti patuh Syariah serta sekuriti berkaitan ekuiti patuh Syariah dalam keadaan pasaran normal.
“Baki selebihnya pula dilaburkan dalam instrumen pasaran wang Islam, penempatan deposit Islam, sukuk dan pelaburan lain yang dibenarkan menurut syariah.
“Peruntukan ekuiti akan disemak secara aktif dari semasa ke semasa berdasarkan faktor politik, ekonomi dan pasaran semasa termasuk penilaian terhadap persekitaran perniagaan global, serantau dan domestik,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd. Idzwan Izuddin Ab. Rahman berkata, Dana Al-Aiman mempunyai kedudukan istimewa sebagai dana perintis syarikat itu.
“Prestasi mampannya sepanjang beberapa dekad mencerminkan dedikasi kami terhadap pelaburan beretika dan pengurusan dana berhemah.
“Dalam persekitaran pasaran yang semakin mencabar, fokus kami kekal untuk memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang unit tanpa menjejaskan prinsip pematuhan syariah dan integriti kewangan,” katanya. – UTUSAN










