PM tinjau perkembangan pembinaan LCS di Lumut

PM tinjau perkembangan pembinaan LCS di Lumut

ANWAR Ibrahim meninjau perkembangan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini melakukan tinjauan terhadap perkembangan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau tiba di Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS) yang berada dalam Pangkalan TLDM Lumut, kira-kira pukul 10 pagi.

Ketibaan Anwar disambut oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, sebelum diberi taklimat mengenai kemajuan semasa pembinaan lima kapal LCS.

Beliau dan rombongan kemudian dibawa melawat LCS 1 di dermaga LUNAS kira-kira pukul 10.25 pagi dan berada di situ selama lebih kurang 15 minit, sebelum beredar.

Turut serta ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.

Sehingga 25 Mei lalu, kemajuan kerja keseluruhan terhadap projek pembinaan LCS  yang dicapai adalah sebanyak 72.43 peratus. 

Kapal LCS 1 telah berjaya diluncurkan ke permukaan air mengikut jadual kontrak pada 23 Mei tahun lalu dan ketika ini, ia telah pun memulakan fasa ‘Tetapan untuk bekerja’ (STW) mulai Mei lalu serta dirancang menjalani aktiviti pelayaran laut pertama pada Disember depan.

Bagi LCS 2 pula, kapal telah diturunkan ke air pada 8 Mei lalu dan sedang meneruskan kerja pembinaan seterusnya dirancang memulakan aktiviti STW pada September ini.

Selain itu, kemajuan kerja pembinaan bagi kapal LCS 3 hingga LCS 5 masih mengikut perancangan ditetapkan.

Semua kapal itu dijangka diserahkan mengikut jadual yang dirancang iaitu LCS 3 pada 2027 dan kapal seterusnya akan diserahkan selang lapan bulan sehingga LCS 5 siap sepenuhnya pada 2029.

Pembinaan semua lima LCS itu dipantau rapi oleh Kementerian Pertahanan bersama pemegang taruh iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Peguam Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN