PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sumbangan kepada seorang ibu tunggal yang menghidap kanser usus dan menyara lima anaknya di Kampung Tebing Tinggi, Balok, Kuantan, Pahang.
Penyerahan sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi di rumah ibu tunggal berkenaan, Azizah Mahmood .
Ahmad Farhan berkata, wanita itu kini bergelut dengan penyakit kanser usus dan memerlukan rawatan serta suplemen secara berterusan setiap bulan.
“Dengan hanya mengharapkan pendapatan sebagai tukang cuci, beliau (Azizah) berhempas-pulas menyara keluarga, memastikan dapur terus berasap dan anak-anak tidak putus harapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, kunjungan tersebut adalah sebahagian daripada program Ziarah Madani bagi menyantuni rakyat yang memerlukan bantuan selaras dengan pendekatan prihatin kerajaan.
Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti bentuk bantuan segera termasuk dari aspek kesihatan dan pembaikan rumah bagi memastikan kebajikan keluarga itu terus terpelihara.
“Doa saya agar Puan Azizah terus diberi kekuatan dan kesembuhan. Semoga segala urusan beliau dan anak-anak dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya. – UTUSAN