PETALING JAYA: Platform media sosial perlu bertanggungjawab terhadap kandungan berkaitan bunuh diri yang disebarkan di halaman masing-masing.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tanggungjawab isu berkenaan yang bukan hanya terhad kepada media arus perdana juga perlu difahami semua pihak dengan mengamalkan garis panduan pelaporan serta perkongsian kandungan berkaitan bunuh diri.
Malah katanya, garis panduan yang dibangunkan oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) perlu dihayati semua peringkat organisasi media yang bukan hanya terhad kepada wartawan semata-mata.
“Bukan sekadar media arus perdana, tetapi platform media sosial seperti TikTok dan Facebook juga perlu faham bahawa kandungan yang mereka benarkan di platform mereka boleh membawa kepada mudarat dalam talian, khususnya berkaitan isu bunuh diri.
“Hanya TikTok yang secara sukarela menjadi ahli CMCF, manakala Facebook, Instagram dan X masih belum berbuat demikian walaupun kerajaan sudah lama menggesa mereka menyertainya.
“Justeru saya sudah minta mereka sertai. TikTok melakukannya secara sukarela sebelum kita mewujudkan rejim pelesenan. Tetapi Facebook, Instagram dan X masih beri pelbagai alasan,” katanya dalam Majlis Pelancaran Garis Panduan Untuk Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Berkaitan Bunuh Diri di sini, hari ini.
Fahmi dalam masa yang sama turut menegur sikap sesetengah platform media sosial terlalu memikirkan keuntungan dan memandang ringan hal berkaitan undang-undang.
“Bab buat duit, dia sangat pantas. Bab patuh dengan undang-undang, sangat lembab. Bukan di Malaysia sahaja, tetapi berlaku di banyak negara.
“Mereka rasa lebih besar daripada undang-undang negara kita, malah negara Asia Tenggara mahupun Asia Pasifik,” katanya.
Menurutnya, negara-negara serantau turut berdepan isu sama dan langkah bersama sedang diusahakan melalui Deklarasi Kuala Lumpur yang akan dimuktamadkan dalam Sidang Kemuncak Asean ke-47, Oktober nanti.
Fahmi berkata, deklarasi itu adalah kenyataan hasrat bersama negara ASEAN untuk memastikan semua platform digital menghormati dan mematuhi undang-undang serta menjaga keselamatan sosial dalam negara masing-masing.
“Pelancaran garis panduan hari ini disifatkan sebagai langkah penting dalam memastikan pelaporan isu bunuh diri dilakukan dengan penuh tanggungjawab, empati dan kesedaran terhadap kesihatan mental masyarakat.
“Ini soal empati, kepekaan dan tanggungjawab sosial. Harapan saya garis panduan ini dapat dihadam dan diamalkan oleh semua pihak,” katanya.-UTUSAN