KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera mencari pengganti Menteri Ekonomi yang dapat memulihkan ekonomi negara susulan perletakan jawatan Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli berkuatkuasa 17 Jun ini.
Pengerusi Eksekutif NNA Land, Datuk Mohd. Nazrul Izad Mohd. Arsad berkata, negara ketika ini berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi setelah kos minyak diesel meningkat dan nilai ringgit Malaysia rendah berbanding Singapura, Brunei serta negara-negara jiran lain.
“Projek penjanaan untuk kontraktor-kontraktor di lihat tidak berdaya maju seperti zaman terdahulu seperti pembinaan projek-projek besar untuk memberi impak pulangan kepada ekonomi rakyat.
“Dengan janji-janji sebelum ini untuk menghapuskan tol dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menampakan kegagalan.
“Isu terbaru Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) telah menamatkan kontrak 5,000 pekerja memberi impak yang besar kepada kerajaan Madani,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Nazrul Izad berkata, dalam bidang pembinaan dan hartanah, kenaikan harga bahan binaan menyebabkan pemaju perumahan dalam dilema ingin menaikkan harga rumah.
“Ini kerana, kuasa beli rakyat ketika ini tidak kuat menyebabkan pinjaman perumahan sukar diperolehi sekali gus berlaku lambakan rumah tidak terjual RM500,000 ke bawah.
“Jadi, PMX (Anwar) perlu memperkasakan Kementerian Ekonomi yang selama ini suram dan tidak berdaya maju.
“Sekiranya perkara ini berterusan, formula kosong rakyat ini tidak diatasi, ramai peniaga akan gulung tikar, keadaan ekonomi negara, negeri dan ekonomi desa akan terkesan khasnya orang Melayu,” tegasnya. – UTUSAN