KUALA LUMPUR: Bagi menarik minat dan menambah keterujaan ‘pencinta buku’ untuk memilih bahan bacaan, buat pertama kali BookXcess menawarkan cara yang lebih ‘misteri’ dengan memperkenalkan ‘Blind Date With A Book’ iaitu tidak mendedahkan tajuk buku dan pengarang secara jelas.
Buku-buku tersebut dibalut dan hanya memberikan beberapa klu menarik tentang tema atau genre, seperti ‘kisah keluarga yang meruntun jiwa’ atau ‘ekspedisi penuh teka-teki’ yang akan tertera pada pembalut buku tersebut.
Pengarah Urusan BookXcess, Andrew Yap berkata, konsep ini memberi peluang kepada pembaca memilih buku secara rawak dan menggalakkan pembaca keluar dari zon selesa untuk mencuba benda baharu.
“Inisiatif kreatif yang dilancarkan oleh BookXcess pada Februari 2024, ‘Blind Date With A Book’, berjaya merevolusikan cara rakyat Malaysia memilih dan membaca buku. Sejak kempen ini dilancarkan, ia telah pun terjual sebanyak 150,000 unit dan kami sedang dalam usaha untuk menambah stok serta menambah baik kempen ini bagi memenuhi permintaan yang amat tinggi.
“Kempen ‘Blind Date With A Book’ telah melangkaui jangkaan kami. Maklum balas positif daripada para pembaca khususnya pelanggan kami menyerlahkan keberkesanan dan menjadikan pengalaman membaca buku lebih unik dan menyeronokkan.
“Kejayaan ini adalah bukti misi kami untuk terus menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Kempen unik ini dirangka khas untuk merangkul pembaca dari semua peringkat umur, termasuk generasi muda, pencinta buku serta individu yang ingin menghidupkan semula tabiat membaca.
Jelas Andrew lagi, ia juga menjadi sumber inspirasi untuk individu yang ingin mencari hadiah bermakna dan memikat hati daripada pilihan terbesar buku-buku pelbagai genre.
“Berdasarkan sokongan positif yang diberikan, kami amat teruja untuk mengembangkan lagi program ini dan kami juga akan menawarkan lebih banyak pilihan yang dipilih khas untuk memenuhi pelbagai minat dan citarasa.
“Selain itu, kami telah membawa inisiatif ini ke kedai buku kami di negara jiran bagi membolehkan usaha tersebut dapat menarik miniat lebih ramai pencinta buku,” ujarnya.
Buku yang berkonsepkan ‘Blind Date With A Book’ ditawarkan pada harga mampu milik, iaitu sekitar RM12.90 hingga RM34.90, merangkumi pelbagai kategori termasuk fiksyen bukan fiksyen dan buku kanak-kanak.
Sambutan hangat terhadap inisiatif ini jelas membuktikan bahawa minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih tinggi, terutamanya melalui pendekatan yang inovatif dan mengujakan.
“BookXcess berhasrat untuk memperluas kempen ini ke lebih banyak lokasi fizikal dan dalam talian, agar lebih ramai pembaca dapat menikmati pengalaman ‘Blind Date’ yang unik bersama buku,” katanya. – UTUSAN