PETALING JAYA: Syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memberikan komitmen untuk menjaga kebajikan pekerjanya termasuk menubuhkan Majlis Peralihan dan Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia.
Langkah itu susulan perancangan syarikat itu untuk mengurangkan 10 peratus tenaga kerjanya.
Petronas dalam kenyataan berkata, komitmen yang diambil itu bertujuan mengurus bakat dan penempatan secara kolektif selaras keperluan perundangan serta amalan hubungan industri.
Katanya, setakat ini libat urus telah diadakan bersama Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan statutori.
” Petronas menyediakan program peralihan komprehensif kepada pekerja yang terkesan, berpaksikan prinsip keadilan, hormat dan profesionalisme.
“Pakej pemisahan (separation package) yang ditawarkan adalah kompetitif di pasaran dan melebihi keperluan minimum undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz sebelum ini berkata, syarikat minyak nasional itu akan mengurangkan 10 peratus tenaga kerjanya dalam mendepani keadaan operasi yang mencabar, terutamanya disebabkan penurunan harga minyak mentah.
Bilangan kakitangan yang terlibat dalam proses itu dianggarkan berjumlah kira-kira 5,000 orang dan mereka yang terbabit akan dimaklumkan secara berperingkat tahun depan.
Dalam pada itu Petronas berkata, bimbingan kerjaya dan bantuan pencarian kerja turut diberikan kepada pekerja yang terkesan selain memberi bantuan sokongan emos serta kaunseling.
“Kami juga menyediakan program bantuan perubatan, latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan kemahiran semula (reskilling) serta bimbingan bimbingan perancangan kewangan,” jelasnya.
Menurut Petronas lagi, faedah-faedah ini disusun berdasarkan tempoh perkhidmatan dan kategori pekerja serta kelayakan masing-masing.
Petronas pada masa yang sama juga bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui MyFutureJobs untuk meneroka peluang penempatan dalam sektor lain, selain menjalinkan kerjasama dengan syarikat milik kerajaan (GLC) bagi penempatan pekerjaan.
“Melalui Petronas Innovation Garage, syarikat turut menawarkan peluang keusahawanan kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan,” ujarnya. – UTUSAN