Selepas 11 tahun baru sedar ditipu RM3.9 juta - Utusan Malaysia

Selepas 11 tahun baru sedar ditipu RM3.9 juta

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas 11 tahun, seorang pesara doktor baru menyedari menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud yang menyebabkan dia kerugian sebanyak RM3.9 juta.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki berusia 74 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas mengesyaki ditipu wanita yang juga rakan mendiang isterinya.

“Menurut mangsa, dia telah dihubungi wanita yang dikenali sejak 2014 itu yang menawarkan untuk menyertai pelaburan dikenali sebagai ‘Johor Royalty Investment’.

“Selepas mendengar penerangan suspek, mangsa yang percaya kepada wanita itu berminat untuk menyertai pelaburan tersebut dan telah menyerahkan wang RM12,000 secara bersemuka di sebuah bank di Ipoh pada 17 Disember 2014,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, bermula dari tarikh itu sehingga 9 April lalu, mangsa telah menyerahkan wang sebanyak RM3.9 juta secara tunai dan dimasukkan ke dalam akaun bank atas nama wanita terbabit.

Katanya, mangsa menyedari telah ditipu apabila tidak pernah menerima sebarang keuntungan daripada pelaburan yang dibuat.

“Suspek juga dikatakan memberi pelbagai alasan setiap kali mangsa bertanyakan tentang keuntungan pelaburan tersebut. Disebabkan berasa ditipu, mangsa membuat laporan polis semalam.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN