SERI KEMBANGAN: Penerbit dan pelakon, Farid Kamil, berpendapat kehadiran banyak filem tempatan di panggung merupakan petanda baik menunjukkan industri seni semakin berkembang.
Namun begitu, menurut Farid atau Farid Kamil Zahari, 44, sebuah strategi baharu perlu diatur Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) agar filem tempatan dapat berada lebih lama di panggung termasuklah merancang tarikh tayangan yang tidak bertembung dengan filem besar yang lain.
“Kebanyakan filem mampu bertahan selama dua minggu mengikut skim Wajib Tayang yang diberikan Finas. Tapi, oleh sebab terlalu banyak lambakan filem tempatan juga saingan filem dari luar, ia sedikit sebanyak memberi kesan terutama dari aspek pembelian tiket.
“Saya berharap pihak Finas dapat merangka strategi dan mencari solusi agak filem kita boleh kekal bertahan lebih lama. Contohnya, boleh untuk tayangkan tiga hingga empat filem tempatan tapi kena kurangkan filem dari luar negara,” katanya.
Farid ditemui Utusan Malaysia di acara Majlis D’Ayu Pictures Gathering, baru-baru ini.
Mengulas nasib filem Telaga Suriram yang hanya ditayangkan dua minggu di pawagam, Farid mengakui berasa sedikit ralat naskhah berkenaan tidak dapat bertahan sekurang-kurangnya sebulan di pawagam.
“Kita tahu filem seram di Malaysia mendapat tempat di hati penonton. Tapi disebabkan lambakan filem dalam satu bulan menyebabkan kejadian tak diingini berlaku.
“Saya agak kecewa juga filem itu tak berjaya kekalkan kedudukan di pawagam selama sebulan seperti filem saya yang pernah ditayangkan sebelum ini.
“Apapun, saya tetap bersyukur cuma ralat melihat pengarah juga turut terkesan dengan kejadian tersebut,” katanya.
Terdahulu, pengarah, Osman Ali meluahkan rasa kecewa apabila pawagam sudah tidak lagi menayangkan filem Telaga Suriram. Bagaimanapun dia akur dengan keputusan yang dibuat mengikut penetapan Wajib Tayang selama 14 hari. -UTUSAN