Perlu sejuta pekerja mahir digital

Perlu sejuta pekerja mahir digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berdepan kekurangan lebih satu juta pekerja mahir digital, sekali gus dibimbangi gagal memenuhi permintaan industri, selain memastikan kelangsungan daya saing negara dalam ekonomi digital.

Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, sasaran untuk melahirkan lima juta tenaga kerja mahir digital menjelang 2030 seperti yang ditetapkan dalam Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), masih jauh dari jangkauan berdasarkan jumlah tenaga kerja semasa.

Menurut Syed Hussain, lebih 40 peratus majikan di negara ini mengakui pekerja mereka tidak memiliki kemahiran digital yang mencukupi, manakala ramai lagi majikan tidak pasti apakah kemahiran yang perlu dibangunkan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi semasa.

“Kekurangan ini mencerminkan jurang besar antara kehendak industri dan tahap kemahiran tenaga kerja sedia ada.

“Jika tidak diatasi segera, ia akan menyukarkan Malaysia untuk bersaing dalam landskap digital serantau dan global,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Syed Hussain, antara kemahiran kritikal yang amat diperlukan termasuk sains data dan analisis, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin, pengkomputeran awan dan pembangunan perisian serta aplikasi.

Katanya, kekangan seperti kurangnya pelan latihan strategik, kelemahan kerjasama antara industri dan institusi pendidikan serta tiadanya pemetaan kemahiran dalam organisasi menyumbang kepada kelewatan pembangunan tenaga kerja digital.

Katanya, HRD Corp. sepatutnya segera membangunkan alat penilaian kemahiran digital peringkat nasional dan mewujudkan pusat rujukan Digital Skills Advisory untuk membimbing majikan mengenal pasti jurang kemahiran berdasarkan data dan trend industri.

Katanya, MEF turut menyeru supaya latihan kemahiran tidak hanya disandarkan kepada institusi pengajian tinggi semata-mata, sebaliknya perlu dipacu menerusi pembelajaran sepanjang hayat dan pendekatan latihan mikro seperti micro-credentials.

“Isu ini bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Pekerja sendiri perlu bersikap proaktif, manakala majikan dan kerajaan pula perlu menyediakan laluan dan insentif untuk mempercepat peningkatan kemahiran,” katanya.

Katanya, antara langkah konkrit yang disyorkan termasuk pelaksanaan latihan yang benar-benar menepati keperluan sebenar industri, bukannya bersifat umum atau terlalu akademik.

“Kerajaan juga disaran menyediakan insentif khas kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar mereka mampu melatih pekerja dalam kemahiran digital yang relevan.

“Selain itu, kemahiran digital perlu dijadikan komponen wajib dalam semua modul latihan dan pensijilan pekerja bagi memastikan ia menjadi sebahagian daripada standard nasional,” katanya.

Syed Hussain berkata, satu dana latihan khas perlu diwujudkan bagi membantu syarikat kecil yang menghadapi kekangan kewangan dalam melaksanakan latihan digital secara menyeluruh.

“Perubahan teknologi berlaku terlalu pantas hingga banyak kemahiran sedia ada menjadi usang dalam tempoh singkat.

“Oleh itu, setiap individu perlu mengambil inisiatif untuk sentiasa mengemas kini diri mereka seperti perisian komputer.

“Graduan hari ini mungkin belajar teknologi terkini di universiti, tetapi lima tahun kemudian teknologi itu sudah tidak relevan. Maka budaya pembelajaran berterusan perlu diterapkan di semua peringkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN