KANGAR: Kerajaan negeri Perlis sedang dalam peringkat kajian untuk menubuhkan Majlis Daerah Padang Besar sekali gus menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) kedua di negeri ini selepas Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kajian tersebut mengambil masa empat bulan dan selepas mendapat keputusan ia akan dibincangkan semula dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Beliau berkata, kawasan Majlis Daerah Padang Besar meliputi seluruh kawasan Parlimen berkenaan manakala bidang kuasa MPK pula adalah di kawasan Kangar dan Arau.
“Cadangan pelaksanaan itu selepas melihat Padang Besar yang pertumbuhannya sedang berkembang pesat ketika ini dengan kewujudan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA)
“Kami harap dengan perkembangan ini ia akan menjadi pusat pertumbuhan baharu. Apabila ada PBT yang baharu ini, makin mudahlah perolehan kita dengan Persekutuan dan sebagainya,” katanya di sini semalam.
MPK yang diwujudkan sejak tahun 1980 menjadi PBT tunggal di negeri ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri mengambil perhatian serius teguran Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mengenai budaya ‘Little Napoleon’ yang didakwa wujud dalam pentadbiran MPK.
Katanya, kerajaan negeri amat menghargai keprihatinan baginda serta menjunjung kasih atas titah tersebut sebagai peringatan untuk memastikan pentadbiran berjalan dengan lebih cekap dan berintegriti.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan pentadbiran menjadi lebih efisien,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Tuanku Syed Sirajuddin menegur karenah birokrasi serta budaya ‘Little Napoleon’ yang didakwa wujud dalam pentadbiran MPK.
Titah baginda, kewujudan segelintir pegawai yang mengamalkan budaya ‘Little Napoleon’ dalam PBT itu telah memburukkan nama MPK. – UTUSAN