KOTA BHARU: Polis giat menjejaki tiga individu bagi membantu siasatan kes pergaduhan di jalan Kebun Sultan, di sini pada 23 Mei lalu.
Tiga individu terbabit ialah Weng Kok Choo, 58, (Jalan Kebun Sultan), Saravanan Kumar Sekar dan Kumaresan Subramaniam yang masing-masing berusia 34 tahun itu beralamat di Sungai Pelek, Selangor.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kesemua individu itu diperlukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga individu ini diminta tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu atau balai berhampiran,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, polis sedang memburu sekumpulan lelaki yang terlibat dengan satu pergaduhan di jalan Kebun Sultan, di sini sebagaimana tular.
Siasatan awal mendapati kejadian pukul 4.27 pagi itu berlaku pada 23 Mei lalu.-UTUSAN