GUA MUSANG: Aliran trafik keluar dari negeri ini melalui pusat bandar Gua Musang di sini, semakin bertambah berikutan anak-anak Kelantan di perantauan mula kembali ke ibu kota selepas cuti menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman masing-masing semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kenderaan bertambah di laluan Jalan Kuala Krai menuju ke Gua Musang dan dijangka semakin meningkat petang ini.
‘Polis membuat pemantauan dan penarikan trafik dari semasa ke semasa bagi mengurangkan kesesakan kenderaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Seorang pengguna jalan raya, Mohd. Izwan Zakaria, 43, berkata, aliran trafik perlahan di beberapa kawasan terutama dari bandar Kuala Krai menuju ke Gua Musang namun keadaan lalu lintas masih terkawal.
“Saya mahu pulang ke Kuala Lumpur untuk bertugas selepas pulang ke kampung halaman untuk bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidiladha. Saya sempat berhenti rehat di Hentian Rehat dan rawat Rantau Manis di sini. Kawasan itu dipenuhi dengan kenderaan perantau. Kenderaan bergerak perlahan di Bandar Utama dan kawasan pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat Taman Wangi di sini,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna jalan raya, Mohd. Fakri Mohd. Rashid, 38, berkata, kenderaan dilihat semakin bertambah menuju keluar Kelantan dan aliran trafik perlahan terutama di laluan menghala bandar Kuala Krai dan Gua Musang.
Katanya, mereka sekeluarga merancang perjalanan pulang hari ini kerana esok sudah bekerja. – UTUSAN