IPOH: Perak mahu setiap pihak berkuasa tempatannya (PBT) menekankan aspek pendigitalan dalam hasrat negeri itu selari dengan kemajuan teknologi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri menyasarkan semua PBT di Perak mempunyai Pelan Tindakan Bandar Pintar masing-masing menjelang tahun 2025.
“Kita berhasrat untuk semua urusan PBT akan diuruskan secara digital. Kita tak boleh ketinggalan. Kalau ketinggalan, kita akan dianggap sebagai bandar yg mundur, kerana rakyat sekarang semakin celik digital,” katanya selepas majlis pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 di sini hari ini.
Katanya, sektor digital menyumbang sekitar 15 peratus atau RM12 bilion daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri yang berjumlah RM80.2 bilion pada tahun 2022.
Tambahnya, menjelang 2030 sumbangan sektor itu dijangka meningkat ketara dengan unjuran pertambahan RM2 bilion hingga RM4.2 bilion kepada KDNK negeri.
Saarani berkata, Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu akses kepada infrastruktur digital yang berkualiti, pentadbiran awam yang cekap dan digital, ekosistem perniagaan rancak dipacu pendigitalan dan masyarakat diperkasa pendigitalan.
Mengenai Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040, beliau berkata pelan itu merangkumi tujuh komponen meliputi Infrastruktur Digital Pintar, Tadbir Urus Pintar, Ekonomi Pintar, Rakyat Pintar, Alam Sekitar Pintar, Mobiliti Pintar dan Kehidupan Pintar.
“Ia mengandungi 22 dasar, 52 strategi dan 132 inisiatif dengan pelaksanaan berfasa bermula dari tahun 2025 hingga 2040,” katanya. – UTUSAN