PETALING JAYA: UMNO mengalu-alukan penyertaan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad ke dalam parti itu secara rasmi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kemasukan Dzulkifli ke dalam UMNO bukan hasil rundingan di peringkat atasan, sebaliknya melalui proses biasa dan terus berhubung dengan pimpinan akar umbi.
“Kemasukan beliau mengikut proses biasa. Bukan rundingan orang atas. Beliau berhubung terus dengan Ketua Cawangan dan Ketua Bahagian. Dia masuk dari bawah, bukan menjadikan UMNO sebagai transit,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Mohd. Puad, UMNO tidak menyediakan sebarang layanan istimewa seperti yang diterima oleh beberapa tokoh politik lain ketika menyertai parti lain.
“Tidak ada parmaidani merah. Tidak ada janji jawatan. Tidak ada gegak-gempita. Tidak perlu ditayang atas pentas macam bekas Ketua Wanita UMNO Pasir Salak dan Tan Sri Annuar Musa masuk Pas.
“Tetapi sudah tentu UMNO gembira dengan penyertaan beliau. Dia aset ‘check and balance’ UMNO terutama dalam isu perundangan, rasuah dan ketelusan. Welcome aboard Tan Sri,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, setelah tiga tahun berkhidmat untuk rakyat khususnya di kawasan Parlimen Tasek Gelugor, Dzulkifli akhirnya memutuskan untuk menyertai UMNO.
Dzulkifli menyerahkan borang keahliannya sebagai ahli parti itu kepada Ketua UMNO Cawangan Merbau Kudong, Mohd. Ramli Daud dalam satu majlis ringkas di Sungai Dua, kelmarin.
Anak jati Pulau Pinang itu berkata, beliau mengambil masa yang agak lama untuk membuat penilaian sebelum memilih untuk ‘terjun’ ke dalam dunia politik. – UTUSAN