PUTRAJAYA: Penyedia-penyedia biasiswa tempatan diminta supaya membuat keputusan segera dalam menempatkan pelajar tajaan mereka di luar negara selain Amerika Syarikat (AS) supaya tidak terbeban dengan kesan tarif baharu AS itu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, mana-mana penyedia biasiswa yang mahu mengubah dasar (taja pelajar di AS) itu diminta supaya tidak menunggu terlalu lama kerana ia membabitkan masa depan pelajar tajaan itu sendiri.
Beliau berkata, sebagai contoh, Majlis Amana Rakyat (Mara) telah memutuskan untuk menghentikan penghantaran pelajar tajaannya bagi menyambung pelajaran ke universiti-universiti di AS bermula tahun ini.
“Kita tidak boleh lagi terperangkap dengan dasar-dasar yang terlalu regresif sifatnya sehingga pelajar dari seluruh dunia termasuk Malaysia untuk belajar.
“Bagi saya tempat (universiti) terbaik ada di tempat (negara) lain juga,” katanya ketika ditemui pada sesi ‘Luncheon Talk With Editors’ Sempena Program Kepengerusian Asean-Malaysia 2025 KPT, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesan dasar tarif baharu diperkenalkan AS terhadap pelajar tempatan yang menyambung pelajaran di AS.
Katanya, Malaysia mempunyai ramai pelajar dengan kelulusan pendidikan yang cemerlang dan berpotensi ditempatkan di universiti terbaik dunia dan bukan hanya tertumpu di AS.
Zambry berkata, semua pelajar mahu menuntut di AS namun, hambatan tarif itu dilihat menghalang pelajar ini untuk menyambung pelajaran.
“Kita tidak mahu melihat anak-anak Malaysia terperangkap dalam permainan tarif ini menyebabkan mereka tidak mendapat peluang menyambung pelajaran di universiti berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, Mara memutuskan untuk menghentikan penghantaran pelajar tajaannya ke AS mulai tahun ini susulan pengenalan polisi dan dasar baharu Presiden Donald Trump. – UTUSAN