Penuntut universiti dibunuh: Semua IPT diarah patuh SOP keselamatan pelajar

Penuntut universiti dibunuh: Semua IPT diarah patuh SOP keselamatan pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua institusi pendidikan tinggi awam dan swasta diingatkan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan universiti masing-masing sebagai langkah berterusan dalam memperkukuh aspek keselamatan dan kebajikan pelajar.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, hal ini penting bagi memastikan tahap keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Jelasnya, pematuhan ini juga adalah penting bagi memastikan perlindungan menyeluruh terhadap pelajar yang berada di bawah tanggungjawab universiti.

“KPT juga sentiasa komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam memastikan setiap IPT kekal sebagai persekitaran yang selamat, kondusif dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan para pelajar,” katanya hari ini.

Peringatan KPT itu merujuk kepada insiden penuntut sebuah universiti di Cyberjaya yang dilaporkan meninggal dunia pada pagi kelmarin.

Mengulas berhubung kes berkenaan, pihaknya sedang menunggu laporan penuh hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

“KPT menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga penuntut terbabit.

“Sehubungan itu, pihak KPT menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti pihak yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, seorang penuntut wanita sebuah universiti swasta di Cyberjaya dilaporkan ditemukan maut dalam rumahnya dipercayai dibunuh pagi kelmarin.

Mangsa berusia 20 tahun berasal dari Sarawak itu ditemukan maut oleh rakan serumah dengan kesan kecederaan di kepala kira-kira pukul 10.28 pagi di Mutiara Ville, Cyberjaya, di sini.

Siasatan polis di lokasi kejadian mendapati, tidak terdapat sebarang kesan pecah masuk ke atas kediaman mangsa dan pemeriksaan lanjut ke atas tubuh mangsa mendapati terdapatnya kecederaan ditemukan di bahagian kepala. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN