PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, penjelasan Jabatan Peguam Negara (AGC) menjadi bukti jelas bahawa beliau mengikuti segala proses perundangan yang sah dalam memberikan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, penjelasan itu sekali gus menangkis pelbagai tuduhan yang pernah dilemparkan terhadapnya kononnya beliau telah bertindak di luar peraturan dalam proses tersebut.
“Penjelasan itu melepaskan saya daripada tuduhan-tuduhan bahawa saya tidak mengikut proses yang betul dalam mendapatkan pengampunan untuk Anwar, seperti yang didakwa dalam beberapa isu sebelum ini termasuk kes Pulau Batu Puteh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, AGC menjelaskan proses pengampunan Anwar pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah sah dan mengikut prosedur Lembaga Pengampunan.
Dr Mahathir berkata, sejak pengumuman pengampunan Anwar pada Mei 2018, pelbagai pihak termasuk pengamal undang-undang, baik yang rapat mahupun yang menentangnya mempertikai kesahihan proses berkenaan.
Katanya, terdapat seorang peguam yang memfailkan saman mencabar pengampunan tersebut sejurus selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Februari 2020.
“Anwar cuba membatalkan saman itu namun ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya atas alasan plaintif tidak mempunyai locus standi, manakala Mahkamah Persekutuan menolak rayuan kerana isu itu sudah menjadi akademik dan pengampunan dilakukan menurut Perlembagaan,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, isu tersebut kembali hangat apabila timbul kontroversi berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong melibatkan permohonan kelonggaran tahanan rumah oleh Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Titah Adendum.
“Penyokong Najib mempersoalkan mengapa titah itu tidak dituruti, sedangkan pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar yang dianggap luar biasa boleh dilaksanakan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mahathir turut mengulas usaha Anwar yang kini cuba mendapatkan kekebalan undang-undang (imuniti) daripada tindakan saman sivil oleh bekas pembantunya, yang mendakwa berlakunya serangan seksual.
“Bagi pengkritik Anwar, tindakan ini bercanggah dengan prinsip keadilan kerana tiada siapa pun harus mempunyai kekebalan daripada menghadapi proses undang-undang apabila dituduh melakukan kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, permintaan Anwar itu telah mendorong sesetengah pihak mengaitkan perkara tersebut dengan ‘keistimewaan’ yang pernah diperolehnya sewaktu menerima pengampunan penuh dahulu.
“AGC harus sedar bahawa semua pertikaian ini saling berkaitan. Jika tidak ditangani dengan telus dan segera, ia boleh menular menjadi penyakit yang merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” tegas beliau. – UTUSAN