ALOR SETAR: Seorang lelaki dipenjara 30 bulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah memecah masuk kediaman bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan mencuri mesin rumputnya, minggu lalu.
Tertuduh, T. Rakesh Kumar, 44, yang juga peniaga pasar malam membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd. Hamzah.
Majistret turut memerintahkan agar tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Dalam pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sharmila Md Asri, lelaki itu didakwa memecah masuk rumah bekas Menteri Besar Kedah dan mencuri mesin rumput pada 2.50 pagi, 29 Mei lalu di Taman Rakyat, di sini.
Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Aina Shafina Idrus Said didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun, denda atau sebat.
Tertuduh dalam rayuan memohon agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan dia menyara isteri dan ibu bapa yang uzur selain pendapatan tidak menentu.
Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan memandangkan ia merupakan kesalahan kedua tertuduh yang mempunyai rekod lampau sebelum ini.
Majistret menetapkan hukuman berkuatkuasa pada tarikh tertuduh ditahan. – UTUSAN