PETALING JAYA: Peniaga kecil masih dibenarkan untuk menggunakan silinder tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang berwarna hijau tetapi mempunyai syarat ditetapkan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh tampil memberi penjelasan mudah selepas ramai masih keliru dengan pelaksanaan penggunaan LPG komersial yang berwarna ungu yang berkuat kuasa sejak 1 Mei lalu.
“Peniaga kecil macam Makcik Kiah masih boleh guna tong gas hijau. Syaratnya, tidak lebih daripada tiga tong gas 14 kilogram (kg) pada satu masa. Jumlah maksima 42kg
“Ini bermakna, kalau Makcik Kiah guna satu tong untuk goreng pisang, satu untuk mee, satu untuk air, Makcik Kiah masih layak guna tong hijau bersubsidi. Tak perlu tukar ke tong ungu,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.
Tambah Fuziah, tong gas tanpa subsidi itu hanya diwajibkan kepada pengguna industri dan komersial berskala besar seperti restoran besar, kilang, hotel dan seumpamanya.
“Jadi, janganlah kita takut-takutkan rakyat dengan info kurang tepat.
“Yang penting, bantuan kerajaan sampai kepada yang benar-benar layak dan subsidi terus dinikmati oleh golongan kecil dan sederhana,” jelasnya.
Sebelum ini, tular maklumat kurang tepat yang dimuatnaik di Facebook dan mendakwa peniaga-peniaga kecil kini terbeban dengan penggunaan tong gas tanpa subsidi itu.
Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup tampil menepis dakwaan tersebut.
Menterinya, Datuk Armizan Ali, dilaporkan berkata, dakwaan pemotongan dan pemansuhan subsidi LPG di bawah Ops Gasak yang dilaksanakan untuk mengekang ketirisan subsidi LPG juga adalah tidak benar.
Beliau dilaporkan berkata, langkah mewajibkan permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB) hanya terpakai bagi mana-mana pihak yang menggunakan LPG melebihi 42kg dan ia dilaksanakan sejak 2021. – UTUSAN