MELAKA: Seorang peniaga dalam talian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan dan 30 butir peluru ball bearing, dua minggu lalu.
Tertuduh, Tan Soo Kian, 34, membuat pengakuan itu sejurus tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Berdasarkan dua pertuduhan, tertuduh didapati memiliki sepucuk pistol tiruan jenama Pietro Beretta Gardone V.T buatan Itali bernombor siri E202265Z dan 30 butir peluru ball bearing yang digunakan bagi tujuan menyalahi undang-undang.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali dan hendaklah dikenakan hukuman sebat mengikut Seksyen 33 Akta Senjata 1960.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 427 kanun Keseksaan kerana melakukan khianat memecahkan cermin tingkap kereta menyebabkan penama Tan Wei Kuan, 36, kerugian RM500.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun sehingga lima tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.24 tengah malam di hadapan sebuah rumah di Jalan Johor, Taman Semabok, Semabok dalam daerah Melaka Tengah pada 8 Jun 2025.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan, namun peguam R. Saravanan yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah RM4,000 bagi kesemua pertuduhan dengan alasan anak guamnya hanya berniaga dalam talian dan merupakan bapa tunggal yang menjaga dua anak kembar berusia 14 tahun termasuk seorang berstatus orang kurang upaya (OKU).
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai dan menetapkan 28 Julai depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










