GEORGE TOWN: Seorang pengurus syarikat kesihatan kerugian lebih RM1.3 juta selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan tidak wujud yang beroperasi secara dalam talian, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, lelaki berusia 46 tahun itu membuat laporan polis kelmarin setelah menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Menurutnya, mangsa pada mulanya tertarik dengan iklan pelaburan saham di aplikasi Instagram sekitar April lalu sebelum menghubungi seorang wanita yang dipercayai ahli sindiket melalui WhatsApp.
“Mangsa dijanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat dan diminta memuat turun aplikasi TPG Pro untuk tujuan pelaburan. Dia kemudian membuat 21 transaksi ke empat akaun syarikat berbeza antara 27 April hingga 29 Mei melibatkan jumlah keseluruhan RM1.3 juta.
”Berminat dengan tawaran itu, mangsa seterusnya memuat turun aplikasi TPG Pro dan mula membuat pemindahan wang ke dalam akaun yang diberikan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Hamzah berkata, secara keseluruhannya, mangsa telah membuat sebanyak 21 transaksi ke empat akaun syarikat berbeza antara 27 April hingga 29 Mei lalu dengan jumlah RM1.3 juta.
Bagaimanapun katanya, mangsa mula berasa curiga selepas gagal mengeluarkan keuntungan seperti yang dijanjikan selain diminta menambah modal pelaburan untuk tujuan pengeluaran wang.
‘Sehubungan itu, kata Hamzah, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang tidak mendapat pengiktirafan daripada agensi berkaitan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
Katanya, dalam hal ini, orang ramai disaran agar membuat semakan dan pengesahan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan, terutamanya yang ditawarkan secara dalam talian. – UTUSAN