LUMUT: Pengunjung yang ingin berkelah atau bersantai di pantai peranginan Teluk Senangin dekat Segari, dekat sini, tidak dikenakan sebarang bayaran berkaitan.
Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menegaskan, pihaknya juga tidak pernah melantik, memberi kuasa atau mengeluarkan sebarang permit kepada mana-mana individu, persatuan atau organisasi untuk mengutip bayaran daripada pengunjung pantai.
“Merujuk kepada laporan media dan hantaran yang tular di media sosial bahawa terdapat individu yang mengenakan caj kepada orang awam yang berkunjung ke pantai tersebut, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) ingin menegaskan sekali lagi bahawa perkara tersebut adalah tidak dibenarkan dan bertentangan dengan dasar MPM terhadap pengurusan pantai awam.
“Untuk makluman, Pantai Teluk Senangin adalah pantai awam yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat untuk tujuan riadah, bersantai dan aktiviti perkelahan.
“Tiada sebarang caj kepada pengunjung untuk aktiviti-aktiviti santai seperti membentang tikar, berkumpul bersama keluarga atau menggunakan ruang kawasan pantai tersebut untuk berehat,” katanya Jabatan Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MPM, hari ini.
Semalam, tular video dalam media sosial menunjukkan sebuah keluarga yang sedang berkelah dan bersantai di pantai tersebut dihalau oleh seorang individu, mendakwa kawasan tersebut adalah berbayar.
MPM memandang serius terhadap perkara itu kerana ia melibatkan hak awam untuk mengakses kawasan rekreasi secara bebas tanpa kos tambahan yang tidak wajar.
Katanya, MPM sentiasa komited untuk memastikan setiap lokasi rekreasi kekal sebagai ruang yang selesa, mesra rakyat dan bebas daripada sebarang unsur pemerasan atau caj tidak sah.
Berikutan itu juga, MPM dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung melakukan operasi sitaan terhadap pengusaha kerusi, meja, khemah dan pelampung yang beroperasi tanpa lesen atau kebenaran sah daripada Yang Dipertua MPM.
Sebanyak enam sitaan telah dibuat melibatkan pelbagai peralatan termasuk khemah yang dipasang di sepanjang kawasan Pantai Teluk Senangin, hari ini.
Katanya, aktiviti penyewaan kerusi dan pelampung adalah dibenarkan di kawasan itu namun tertakluk kepada pematuhan Syarat Pelesenan MPM yang sedang berkuat kuasa.
Sehingga kini, sebanyak 10 permit telah dikeluarkan oleh MPM kepada pengusaha yang mematuhi syarat, namun hanya tiga pengusaha yang aktif.
Tindakan itu diambil mengikut peruntukan Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang memperuntukkan larangan terhadap sebarang bentuk halangan di tempat awam.
Semua peralatan yang disita telah dibawa ke Depoh Simpanan Sementara MPM untuk tindakan selanjutnya mengikut undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.
Jumlah sitaan melibatkan 220 kerusi, 19 meja kayu, sebuah meja besi, sebuah payung, 25 pelampung dan tiga khemah. – UTUSAN