JOHOR BAHRU: Terdapat pelancong yang menggunakan tandas awam di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dikesan tidak menjaga kebersihan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, lebih mengejutkan terdapat dalam kalangan mereka meninggalkan tandas tanpa mengepam terlebih dahulu.
Menurut beliau, perkara itu secara tidak langsung menyebabkan tandas berbau busuk.
“Saya boleh katakan dari segi kebersihan, memuaskan. Cuma banyak fasiliti yang rosak seperti flush, paip sinki dan urinal bowl.
“Sikap pengguna juga amat mengecewakan apabila ada yang selepas menggunakan tandas dan urinal bowl ini, mereka tinggal begitu sahaja tanpa pam sedangkan pam berfungsi dengan baik,” katanya selepas melakukan lawatan mengejutkan ke premis berkenaan, hari ini.
Tambah beliau, lawatan ke surau lelaki dan perempuan juga mendapati terdapat bau busuk di kawasan berkenaan.
“Alhamdulillah bersih. Cuma mungkin akibat karpet lama, ada bau hapak di ruang solat lelaki. Bagi ruang solat wanita, terdapat keperluan almari untuk menyimpan telekung dan peralatan solat yang lain.
“Saya sedang menyiapkan laporan lawatan hari ini untuk tindakan segera pihak bertanggungjawab,” ujarnya.-UTUSAN