PETALING JAYA: Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, pagi tadi.
Mengesahkan perkara itu, Pegawai Khasnya, Firhan Rosli berkata, agamawan berusia 75 tahun itu disahkan meninggal meninggal dunia jam 11.27 pagi.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat umat Islam dan negara, khususnya dalam bidang dakwah, keilmuan dan pemikiran Islam.
“Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa-dosa beliau, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh dan beriman,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa menziarahi Allahyarham yang disifatkan sebagai sahabat karibnya sejak zaman Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), yang itu sedang mendapatkan rawatan.
Muhammad Nur memulakan pendidikan di Kolej Islam Malaya di Klang, Selangor sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Pengajian Islam dalam bidang Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) dari tahun 1970 hingga 1974.
Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di University of Temple, Amerika Syarikat dari 1978 hingga 1987 dalam bidang pemikiran Islam dan perbandingan agama.
Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam di UKM, selain bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Profesor Madya di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dari 1983 hingga 1999.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Dekan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Dekan di Pusat Pengajian Lanjutan dan Khidmat Masyarakat, UIAM selama lima tahun dari 1990.
Muhammad Nur juga adalah bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), bekas Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), bekas Ahli Lembaga Pengarah IKIM dan Ahli Majlis Syura Kerajaan Negeri Pulau Pinang. – UTUSAN