KLANG: Memorandum bantahan terhadap pembinaan memorial untuk menyimpan abu mayat sebesar empat tingkat di Kampung Raja Uda di sini, akan dihantar kepada Pejabat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam masa terdekat.
Lebih separuh daripada keseluruhan 5,000 penduduk di kampung berkenaan membantah projek itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Raja Uda, Azhar Ibrahim berkata, mereka mengetahui berkenaan projek itu kira-kira dua minggu lalu tanpa ada perbincangan awal dengan syarikat terlibat.
“Tiada sebarang perbincangan daripada wakil syarikat (yang membina bangunan itu) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dengan penduduk untuk mendapat persetujuan bagi membina memorial berkenaan.
“Kami bantah pembinaan memorial ini kerana dikhuatiri banyak abu, hasil daripada pembakaran mayat akan berterbangan di rumah penduduk, memandangkan jarak memorial dari rumah terdekat tidak sampai 10 meter,” katanya dalam sidang akhbar di luar tapak pembinaan, hari ini.
Kira-kira 50 penduduk kampung menyertai bantahan sambil membawa sepanduk menyatakan penolakan mereka.
Tambah Azhar, lebih 300 notis bantahan secara dalam talian dihantar kepada MBDK sejak dua hari lalu.
Sementara itu, Imam Masjid Kampung Raja Uda, Mohd. Bazaireen Baharuddin berkata, beliau kesal dengan pembinaan memorial yang tidak sampai 50 meter dari Masjid Kampung Raja Uda.
“Kami khuatir selepas ini akan diadakan banyak acara keagamaan di bangunan itu sebaik sahaja ia siap. Ini akan menyebabkan penduduk Islam di sini berasa tidak selesa.
“Jadi kami harap, ahli Parlimen, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Datuk Bandar dengar keluhan ini. Memang bantah 100 peratus memorial empat tingkat ini dibina,” tegasnya. – UTUSAN