SUNGAI PETANI: Seorang penarik kereta didenda RM2,800 selepas mengaku salah atas pertuduhan melakukan pencerobohan rumah yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta, Sabtu lalu.
Majistret Khairatul Animah Jelani menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Aiman Mudzakir Azmi, 24, dan memerintah tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Bagaimanapun tertuduh terlepas hukuman penjara selepas membayar denda yang dikenakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Aiman Mudzakir didakwa menceroboh dengan memasuki rumah C. Kogilan di Bandar Aman Jaya, di sini yang dijadikan tempat menyimpan harta, pada pukul 7 malam, 14 Jun lalu.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, semasa mangsa berada di rumahnya pada hari kejadian dia mendapati pintu pagar hadapan yang berkunci dengan mangga telah terbuka.
Dia mengesyaki lelaki itu yang merupakan ejen penarikan kereta sebuah bank telah menceroboh premisnya dan mengambil kereta jenis Perodua Alza miliknya secara tidak sah.
Pengadu mendakwa dia membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati dengan tindakan ejen itu kerana menceroboh rumahnya dan menarik kenderaan miliknya di luar waktu yang ditetapkan.
Berdasarkan laporan polis, tertuduh yang berasal dari Merbok kemudiannya ditahan di tepi Jalan Jati di sini, kira-kira pukul 10.30 malam kelmarin.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah membuat laporan polis sebelum menarik kereta itu pada 29 Mei lalu berdasarkan surat yang dikeluarkan sebuah bank kerana pemiliknya gagal menjelaskan tunggakan bulanan bayaran kereta itu sejak lapan bulan lalu. – UTUSAN