PUTRAJAYA: Ketua Pegawai Digital (CDO) dalam sektor awam berperanan penting sebagai pemacu utama perubahan dengan memastikan teknologi dimanfaatkan secara optimum dan beretika demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, peranan utama CDO adalah untuk menerajui inisiatif pendigitalan, serta memastikan penggunaan data dan teknologi digital yang berkesan dalam mentransformasi penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Dalam era teknologi digital yang berkembang pantas, gelombang Revolusi Industri Keempat (4IR) yang didorong oleh Kecerdasan Buatan (AI), Data Raya, Internet of Things (IoT) dan automasi telah mengubah landskap kehidupan, dunia pekerjaan dan penyampaian perkhidmatan secara drastik.
“Perubahan ini menuntut sektor awam agar lebih tangkas, inovatif dan berdaya saing dalam memenuhi jangkaan rakyat yang kian meningkat. Justeru, pemimpin digital yang berwawasan dan strategik amat diperlukan bagi menerajui transformasi digital sektor awam ke arah perkhidmatan yang lebih efisien, responsif serta dipacu oleh data dan teknologi,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Ketua Pegawai Digital Sektor Awam (CDO Convex 2025) di sini hari ini.
Pelantikan CDO merupakan langkah strategik Jabatan Digital Negara (JDN) untuk memastikan setiap agensi kerajaan mempunyai pemimpin digital yang berkeupayaan tinggi dalam menerajui pelaksanaan inisiatif pendigitalan.
Dalam pada itu, beliau berkata, satu aplikasi mudah alih yang dikenali sebagai MyGOV Malaysia telah dibangunkan dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Kementerian Digital dan kolaborasi strategik daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
Jelasnya, aplikasi berkenaan juga telah diberi akses awal kepada semua penjawat awam bertujuan mendapatkan maklum balas dan cadangan penambahbaikan aplikasi sebelum dilancarkan kepada rakyat pada Julai ini.
“MyGOV Malaysia telah menyepadukan pelbagai perkhidmatan dalam satu gerbang digital tunggal perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN