GERIK: Polis sudah merekodkan keterangan pemilik syarikat bas yang terlibat dalam nahas mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Berat (JRTB) Gerik-Jeli.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintenden Muhammad Firdaus Abdullah berkata, pemilik syarikat bas terbabit hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pada pukul 10.30 malam tadi.
“Pemilik syarikat bas terbabit telah mengambil masa sekitar sejam setengah bagi memberi keterangan berhubung kemalangan tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian Isnin lalu, bas persiaran yang membawa 44 penumpang termasuk dua pemandu, terbabas dengan sebuah kereta Perodua Alza yang dinaiki empat penumpang di selekoh kilometer 53 JRTB berdekatan Tasik Banding.
Semalam juga, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam dilaporkan berkata, polis telah merakamkan keterangan 18 individu bagi membantu siasatan nahas itu.
Katanya, mereka yang telah diambil keterangan terdiri daripada 13 pelajar UPSI, suami isteri yang menaiki Perodua Alza, doktor forensik Hospital Gerik dan pemilik rakaman kamera papan pemuka (dashcam).
Bagaimanapun beliau memaklumkan, polis masih belum merekodkan kenyataan daripada pemandu bas, yang masih menerima rawatan di Hospital Taiping. – UTUSAN