IPOH: Polis akan merekod keterangan pemilik bas persiaran yang terlibat dalam nahas tragis meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Gerik dalam masa terdekat.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pemilik bas itu dijangka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk memberi keterangan.
“Pasukan kita telah pergi ke Kedah semalam untuk tujuan pengesahan berikutan kenderaan itu didaftarkan di sana.
“Pemilik bas dijangka datang ke IPD Gerik esok untuk memberi keterangan. Difahamkan, dia perlu menyelesaikan beberapa perkara dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kerana bas itu didaftarkan sebagai bas persiaran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Noor Hisam memaklumkan polis telah merekod keterangan 18 individu termasuk 13 pelajar UPSI, pemilik kamera papan pemuka (dashcam) dan pemandu kereta Perodua Alza bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, keterangan dua pemandu bas bagaimanapun belum dibuat ekoran kedua-dua lelaki itu masih menerima rawatan di Hospital Taiping.
Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah malam berhampiran Tasik Banding itu, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah MPV dinaiki empat sekeluarga.
Kemalangan itu menyebabkan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut manakala pemandu dan penumpang MPV cedera.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim. – UTUSAN