JASIN: Selepas empat tahun menanti, pembinaan loji sisa ke tenaga (WTE) di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang dengan kos pelaburan RM660 juta bakal bermula tidak lama lagi.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, majlis pecah tanah akan diadakan minggu depan.
“Kerajaan negeri berharap projek ini dapat disiapkan lebih awal daripada tarikh 2029 yang diumumkan untuk pengoperasian WTE kerana ia sudah tertangguh terlalu lama.
“Daripada sudut pengurusan ia telah diselesaikan selepas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menandatangani perjanjian konsesi secara kerjasama awam swasta bagi projek WTE Sungai Udang,” katanya ketika ditemui pada program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban di Taman Kesang Damai di sini, hari ini.
Sebelum ini, projek pembinaan loji WTE kedua dalam negara dilaporkan akan dibina di Sungai Udang dengan nilai pelaburan RM660 juta dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2029.
Insinerator itu mampu memproses sehingga 1,000 tan sisa pepejal setiap hari, menjana 22 megawatt (MW) tenaga elektrik dan mengurangkan lebih 259,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun bersamaan dengan impak penanaman lebih empat juta pokok. – UTUSAN