IPOH: Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam nahas jalan raya di Gerik kelmarin mendakwa telah menegur pemandu bas agar memperlahankan kenderaan, tetapi tegurannya itu tidak diendahkan.
Perkara itu diberitahu oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad ketika melawat pelajar tersebut, Lili Suzana Mat Yaacob, 23, di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.
Menurut Noraini, pelajar itu memberitahu dia yang sedang tidur dikejutkan oleh rakan yang memaklumkan bas tersebut dipandu laju.
“Dia beritahu bas dipandu laju dan ada tegur pemandu beberapa kali tapi (lelaki itu) terus bawa laju. Tadi pun dia bimbang dengan keadaan rakan-rakan dan minta mereka untuk kuat,” katanya.
Selain Lili Suzana, turut dirawat di hospital itu Nor Erika Elysha Mohd. Zaidi, 21.
Menurut Noraini, keadaan kedua-dua pelajar itu kini stabil dan ditempatkan di wad biasa hospital berkenaan.
Katanya, khidmat kaunseling akan diberikan kepada kedua-dua pelajar itu berikutan keadaan mereka yang didapati masih trauma.
“Saya nasihatkan supaya jangan fikir apa-apa sebab pihak UPSI, hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada menawarkan bantuan untuk mereka.
“Dalam keadaan ini sekiranya terjadi kepada sesiapa pun, perasaan trauma itu semestinya ada. Apatah lagi bila kenderaan (dinaiki pelajar) itu terbalik,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, di samping kaunseling kepada mangsa yang terselamat, khidmat sama juga diberikan kepada waris pelajar yang meninggal dunia.
“Kita telah maklumkan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu untuk menghubungi senarai keluarga mangsa bagi menawarkan perkhidmatan kaunseling,” katanya.-UTUSAN